Jiwa setulus sufi Fikrah pejuang Haraki

7:22:00 PM

Tidak tahu sebab apa yang mendorong untuk diri ini membekukan cuti dari dunia blogger ini bersempena dengan final exam. Namun diri tidak mampu untuk menenangkan badai yang sedang menghempap sejak akhir-akhir ini akibat dari beberapa persoalan yang menyerang minda walau telah cuba dibuang jauh untuk menghadapi keutamaan yang perlu diutamakan, ia tetap tidak ingin pergi. Lantas aku cuba menyelidiki dan memahami apa sebenarnya yang sedang berlaku? Dengan sedikit pembacaan dan pencarian ku rasakan seolah-olah menemui jawapannya namun badai tetap belum tenang… Mungkin Allah jualah kemuncak ketenangan itu…


FENOMENA ISTI’JAL SANG DAIE…


Apabila keinginan untuk merubah realiti penghidupan masa kini dalam sekelip mata atau kurang dari sekelip mata tanpa menilai kesan buruk yang akan berlaku disamping itu tidak memahami suasana persekitaran yang melingkunginya. Ia juga tidak menyediakan sebarang persiapan awal atau pendekatan yang sesuai.

Di dalam dunia da’wah dan perjuangan, istilah isti’jal berarti: keinginan untuk segera merasakan dan memetik hasil dakwah dan perjuangan. Kerana keinginannya itu lalu seseorang megambil langkah-langkah dakwah tanpa memikirkan kondisi real yang ada dan tanpa mempertimbangkan akibat-akibat yang akan terjadi. Juga tanpa memikirkan apakah cara yang digunakan sesuai dengan kaedah dan tuntunan syari’at atau tidak.


MANUSIA DICIPTAKAN BERSIFAT TERBURU-BURU :

خلق الإنسان من عجل
“Manusia telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa…” (al-Anbiya’ : 37)
Dalam kitab tafsir al-munir menjelaskan perihal kalimah “عجل ” yang terdapat dalam ayat di atas adalah merujuk kepada manusia itu sendiri yang seringkali tergesa-gesa dalam hal ehwal diri mereka. Dan antara yang dinyatakan adalah tergesa-gesa ke arah keingkaran atau kekufuran.

Ayat ini diturunkan ke atas an-Nadhr bin al-Harith ketika mana ia berkata (mewakili golongan musyrik) :

“ Ya Allah, jika al-Quran ini benar wahyu daripada Engkau, maka hujanilah kami dengan batu daripada langit, atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih.” (al-Anfaal : 32) – (Tafsir al-Munir, jil. 9, m/s 58)

Keadaan manusia ini juga ada dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam ayat yang lain.

Maksud firman Allah :

“dan kalau Allah menyegerakan keburukan bagi manusia seperti permintaan mereka untuk menyegerakan kebaikan, pasti diakhiri umur mereka…” (Yunus :11)

Maksud firman Allah lagi :

“dan manusia seringkali berdoa untuk kejahatan sebagaimana (biasanya) dia berdoa untuk kebaikan. Dan memang manusia bersifat tergesa-gesa.” (al-Isra’ 11)

Ayat-ayat tersebut memberi gambaran bahawa sekiranya Allah menyegerakan qabul doa manusia semasa mereka berada dalam keadaan marah, supaya ditimpa ke atas diri mereka, anak-anak, keluarga, sahabat-sahabat serta saudara-saudara mereka dengan keburukan (azab) seperti mana mereka memohon disegerakan kebaikan ke atas diri mereka nescaya Allah akan habiskan ajal mereka semua.

Adakalanya kita melihat realiti sesetengah sang daie telah terjangkit dengan virus wabak ini samada dia menyedari ataupun tidak. Hal ini melibatkan banyak faktor yang mungkin boleh kita selidiki dan cuba hayati bersama. Diantara bentuk-bentuk isti’jal yang sering muncul ke permukaan da’wah adalah ingin melahirkan anggota sebanyak-banyaknya, tanpa memikirkan aspek kualiti. Lalu untuk mendapatkan anggota jama’ah yang banyak ia menggunakan segala cara, tanpa mempedulikan bahawa cara yang dilakukan itu menyimpang dari ajaran agama.


GEJALA ISTI’JAL

Secara umumnya, isti’jal mempunyai rupa bentuk dan wajah yang bermacam-macam di antaranya :

1. Mereka yang dilibatkan dengan gerakan dakwah sebelum sampai tahap wajar dan sebelum dikenalpasti tahap keilmuan,kemampuan dan persediaan mereka. Amal menegakkan Islam tidak boleh dibuat secara borong. Perlu kepada penelitian dan memastikan hanya anasir soleh yang boleh ditarbiah sahaja dibawa bersama. Juga kena ambil kira kekuatan untuk mendidik anasir yang telah dipilih tadi. Jangan sampai kita terpedaya dengan bilangan pengikut yang ramai, tapi mereka tidak boleh menghayati perjuangan Islam yang sebenarnya.

2. Memartabatkan sesetengah pendakwah ke tahap yang tinggi sebelum mereka matang dan stabil persediaannya. Dengan alasan supaya orang tadi cepat meningkat, lebih faham dan produktif untuk dakwah dan jamaah. Sebenarnya ini satu kezaliman, kerana meletakkan seseorang bukan pada tempatnya dan dalam keadaan dia belum bersedia lagi.

3. Melakukan tindak-tanduk liar walaupun kecil yang tidak berfaedah dan boleh merosakkan dakwah. Perkara ini biasa berlaku kepada orang yang tiada atau kurang menjaga disiplin amal jamaie atau memang tidak boleh didisiplinkan. Lebih malang lagi apabila tindakan yang dibuatnya mendatangkan mudharat kepada dakwah dan memundurkannya ke belakang.


KESAN ISTI’JAL


Kesan daripada gejala-gejala tersebut sedikit sebanyak bakal meninggalkan kesan atau memberi impak yang negatif dalam gerakan dakwah…

1. Al-futur bermaksud kembali lemah selepas aktif! Boleh jadi seseorang itu asalnya amat aktif dalam amal dan dakwah tetapi sekarang dah malas dan melengah-lengahkan amal, tak aktif lagi. Juga boleh jadi lebih teruk dari itu, langsung berhenti dari amal dan dakwah. Akibat daripada tindakannya sendiri apabila tidak mendapat sambutan dan tidak melihat hasil daripada usahanya berpenat lelah untuk dakwah.

2. Terkorban bukan melalui cara yang mulia bahkan tanpa memperolehi sebarang hasil dan yang berlaku sebaliknya dengan timbul pelbagai fitnah dan tohmahan yang akhirnya memberi kesan kepada gerak kerja dakwah. Dan adakalanya mengakibatkan gerakan dakwah terpaksa mundur ke belakang akibat tindakan si musta’jil. Boleh ikuti kisah seorang pemuda ikhwan bernama Ahmad Rif’at dalam buku “Wabak Sepanjang Jalan” oleh Dr. al-Syed Muhammad Noh dalam Bab Isti’jal.


SEBAB-SEBAB WUJUDNYA FENOMENA INI :

1. Dorongan hawa nafsu dan semangat yang tidak dikawal. Iman kita naik dan turun. Masa iman naik, seseorang itu akan bersemangat untuk beramal dan mencegah kemungkaran. Tapi jika tidak dikawal dan terburu-buru, pastinya musibah yang menimpa.

2. Kurang merujuk atau salah faham terhadap sirah nabawiyah, sunnah Allah dan perjalanan dakwah para dua’t. Sunnah Allah terhadap alam; Allah sendiri menegaskan bahawa alam ini dicipta dalam masa enam hari. Bukan dengan sekelip mata, biarpun Allah mampu dengan kun fayakun. Sunnah Allah dalam pensyariatan; Arak diharamkan secara berperingkat. Bukan sekali gus. Para qudama’ (veteran) dalam amal dakwah pun mengambil masa yang lama, keluar masuk penjara, tapi tetap thabat sampai akhir hayat kerana memahami bahaya isti’jal. Maka pengalaman orang lain dan jamaah lain perlu diambil kira supaya kita tidak mengulangi kesalahan yang sama. Semangat golongan muda perlu diimbangi dengan hikmah para qudama’.

3. Tidak tahan dengan cabaran dan beban dakwah, juga mahukan hasil yang cepat. Perlu ingat, kita tidak dipertanggung jawabkan kepada hasil atau natijah. Tapi kita akan disoal terhadap apa yang telah kita lakukan untuk menegakkan kalimah Allah. Kita mesti berusaha, kemudian serahkan kepada Allah. Mengapa nabi tidak berdoa sahaja ketika diminta oleh Khabbab? Sedangkan doa baginda mustajab. Jawapannya, nabi nak ajar kita bahawa kemenangan Agama ini perlu dengan tangan manusia sendiri, bukan dengan Kun Fayakun!


KONKLUSI

Munculnya persoalan isti’jal ini secara hakikatnya hanya berkisar pada keikhlasan dan keilmuan. Keikhlasan yang benar akan melahirkan kesabaran, sabar untuk senantiasa terikat dengan manhaj Rasulullah saw dan para pewarisnya (ulama’). Sebaliknya tanpa adanya keikhlasan akan memunculkan berbagai penyimpangan dari ketentuan syara’. Maka untuk mengatasi persoalan ini, seorang pejuang dakwah harus selalu menyempurnakan moral spiritualnya.

Untuk mengubati atau mengatasi isti’jal yang disebabkan oleh faktor keilmuan, maka setiap pejuang hendaklah membekali diri dengan berbagai ilmu syar’i. Ia harus memahami beberapa persoalan tentang islam dan da’wah Islam.

Langkah praktik yang dapat ditempuh untuk mengubati penyakit isti’jal itu di antaranya adalah dengan senantiasa mengkaji al-Qur’an dan hadith nabi saw, mempelajari sirah nabi dan sejarah kehidupan para ulama’ yang shalih, memperbanyak ibadah untuk mematangkan emosional dan moralnya, dekat kepada ulama’ yang ikhlas..

Pesanan Hasan Al-Banna

Sebagai pemimpin kepada gerakan Islam masa kini yang menjadi rujukan pelbagai pihak, mari kita telusuri kata-kata Hasan Al-Banna ini;

“Wahai kaum muslimin, khasnya yang bersemangat dan tergesa-gesa! … Sesungguhnya jalan dakwah kamu ini, langkah-langkahnya telah disusun, sempadannya telah ditentukan, aku tidak akan menyanggahi sempadan yang aku amat yakin sebagai lebih selamat untuk sampai kepada matlamat. Memang jalannya panjang, tapi tiada jalan lain selain daripadanya… Siapa dari kalangan kamu hendak memetik buah sebelum masaknya… aku tidak bersamanya. Lebih baik dia mencari jalan dakwah yang lain. Siapa yang bersabar dengan aku sehingga benihnya bercambah, pokoknya tumbuh dan buahnya elok sampai masa untuk dipetik, maka ganjarannya di sisi Allah, kita sama-sama akan mengecapai ganjaran para muhsinin: sama ada mendapat kemenangan atau kepiminan, dan sama ada mendapat syahadah atau sa’adah.”

p/s :- Diri ini rasa terpanggil untuk membuat sedikit pembacaan mengenai perkara ni kerana ada seorang hamba Allah yang pada hemat saya telah terjerumus kepada gejala isti'jal samada dalam keadaan sedar atau tidak..Entah apa yang diinginkan saya rasa saya pun xtahu tetapi orang kata tindakannya memang tidak menunjukkan teladan yang dituntut pada setiap orang yang sedar dirinya seorang pejuang Islam (baru masuk dah nak buat macam-macam hal, kalut apa ntah)..Semoga Allah mengampunkan dosanya dan memberi pengajaran yang sesuai agar dia tidak menjadi fitnah kepada perjuangan yang suci..Wallahua'lam

p/s- kalau ada pembaca yg mencadangkan agar saya menasihati dia saya terima nasihat anda, tapi rasanya ianya suatu yang sukar untuk dilafazkan di sini kerana rasanya dia memerlukan orang lain. Saya tahu telah ada yang cuba menegur bahkan memperbetulkan, tapi melihat kepada pendekatan seolah-olah mengkritik atau bahasa kasarnya pancung tanpa senjata dan hujah/alasan yang kurang jelas bakal menjurus ke arah menjadikannya ‘down’ atau pun patah hati dengan orang yang sepatutnya diberi kepercayaan. (mudah-mudahan dia bukan insan jenis itu).

Ya Allah, ampunkan dosa kami, dan tunjukkan kami jalan yang Engkau redhai…

Kurniakan kami keikhlasan dalam beramal, kefaqihan dalam tindakan…

Engkaulah sumber segala-segalanya bagi kami…

Hamba Allah,
Al-Faqir wa al-Haqir Ilallah, Yahtaaju ila Rabbihi al-Kabir…


Rujukan :


Al-Quran al-Karim
Tafsir al-Munir. Dr. Wahbah az-Zuhayli, Dar al-Fikr, Dimasyq.
Wabak sepanjang jalan, Dr. al-Syed Muhammad Noh, Terbitan Dewan Ulamak PAS Pusat.
http://ouisqarnie.blogspot.com/2009/05/akudia-dan-istijal-tergesa-gesakalut.html
http://abahzacky.wordpress.com/2008/12/25/istijal-dalam-berdawah/
http://beranda.blogsome.com/2007/07/02/istijal/
http://rijalunsodaqu.wordpress.com/2010/02/07/istijal/

You Might Also Like

0 strawberries yummy

Follow me

Like us on Facebook

Follow us

Flickr Images