Bila air mata berbicara~

7:40:00 AM

MENANGISLAH DI SINI SEBELUM MENANGIS DI SANA


Detik waktu bersama kelahiran seorang bayi dihiasi tangisan .Nyaring berkumandang menyaring segala suara yang menyapa telinga ibu.Lonjak hatinya 

memuncak gembira penawar sakit dan lesu. Lalu bermulalah sebuah kehidupan yang mewarnai bumi berpenakan hati, berdakwatkan air mata.


Air mata adakalanya penyubur hati,penawar duka. Adakalanya buih kekecewaan 

yang menyempit perasaan , menyesak kehidupan. Air mata seorang manusia hanyalah umpama air kotor diperlimpahkan.

 Namun setitis air mata kerana ...

takutkan ALLAH persis permata indahnya gemerlapan. Penghuni Syurga ialah 

mereka yang banyak dukacitanya di dunia.


Tidak berkumpul dua perkara dalam satu masa.Barangsiapa gembira di dunia 

akan berdukacita di akhirat.Barangsiapa yang banyak dukacitanya di dunia 

akan gembira di akhirat.


Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang.

 Perindu akhirat menangis 
kerana dunia yang datang.


Alangkah sempitnya kuburku,keluh seorang Abid. 

Alangkah sedikitnya hartaku,kesal si hartawan.


Dari mata yang mengintai setiap kemewahan yang mulus penuh rakus,mengalirlah 

air kecewa kegagalan. Dari mata yang redup merenung Hari Akhirat yang dirasakan dekat, mengalirkan air mata insaf mengharap kemenangan.


"Penghuni Syurga itulah orang-orang yang menang." 

(al- Hasr: 20)


Tangis adalah basahan hidup,justeru: 

Hidup dimulakan dengan tangis, dicelahi oleh tangis dan diakhiri dengan 

tangis.Manusia sentiasa dalam dua tangisan.Sama ada yang membawa untung atau 

merugikan.

Sabda Rasulullah s.a.w.

"Ada dua titisan yang ALLAH cintai,pertama titisan darah para Syuhada dan 

titisan air mata yang jatuh kerana takutkan ALLAH."


Nabi Muhammad bersabda lagi : 

"Tangisan seorang pendosa lebih ALLAH cintai daripada tasbih para wali."


Oleh itu berhati-hatilah dalam tangisan,kerana ada tangisan yang akan 

mengakibatkan diri menangis lebih lama dan ada tangisan yang membawa bahagia 

untuk selama-lamanya. Seorang pendosa yang menangis kerana dosa adalah lebih

baik daripada Abid yang berangan-angan tentang Syurga mana kelak ia akan 

bertakhta.


Nabi bersabda : 

"Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih,lebih ALLAH sukai dari satu 

kebaikan yang menimbulkan rasa takbur."


Ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan. Ketawa seorang ulamak 

dunia hilang ilmu, hilang wibawanya. Ketawa seorang jahil, semakin keras 

hati dan perasaannya.


Nabi Muhammad bersabda : 

"Jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit 

ketawa."


Seorang Hukama pernah bersyair : 

"Aku hairan dan pelik,melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan 

menyusahkan, lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan. "


Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal,takut- takut tidak diterima 

ibadatnya,kita ketawa walaupun sedar diri kosong daripada amalan. Lupakah 

kita Nabi pernah bersabda : 

"Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa,akan dicampakkan ke neraka dalam 

keadaan menangis."


Kita gembira jika apa yang kita idamkan tercapai. Kita menangis kalau yang 

kita cita-citakan terabai. Nikmat disambut ria, kedukaan menjemput duka. 

Namun,Allah s.a.w. telah berfirman : 

" Boleh jadi kamu membenci sesuatu,padahal ia amat baik bagimu,dan boleh 

jadi pula kamu menyukai sesuatu,pada hal ianya amat buruk bagimu. ALLAH 

mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui." 

(AL BAQARAH : 216)


Bukankah Nabi pernah bersabda: 

"Neraka dipagari nikmat,syurga dipagari bala."


Menangislah wahai diri,agar senyumanmu banyak di kemudian hari. Kerana 

engkau belum tahu, nasibmu dipuak kanan atau dipuak kiri.Di sana,lembaran 

sejarahmu dibuka satu persatu, menyemarakkan rasa malu berabad-abad lamanya 

bergantung kepada syafaat Rasulullah yang dikasihi Tuhan. Kenangilah,

sungai-sungai yang mengalir itu banjiran air mata Nabi Adam yang menangis 

bertaubat, maka suburlah dan sejahteralah bumi kerana terangkatnya taubat. 

Menangislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata 

:


"Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang 

itu."


Menangislah sebagaimana Ummu Sulaim apabila ditanya : 

"Kenapa engkau menangis?" 

"Aku tidak mempunyai anak lagi untuk dihantar berperang,"jawabnya .


Menangislah sebagaimana Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita 

rupawan. Diharamkan matanya dari memandang ke langit seumur hidup,lalu 

berkata : 

"Sesungguhnya engkau mencari kesusahan dengan pandangan itu."


Ibnu Masud r.a.berkata : 

"Seorang yang mengerti al Quran dikenali waktu malam ketika orang lain 

tidur,dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa, sedihnya ketika 

orang lain sedang gembira dan tangisnya di waktu orang lain tertawa. Diamnya 

di waktu orang lain berbicara, khusuknya di waktu orang lain berbangga, 

seharusnya orang yang mengerti al Quran itu tenang,lunak dan tidak boleh 

menjadi seorang yang keras, kejam, lalai, bersuara keras dan marah.


Tanyailah orang-orang soleh mengapa dia tidak berhibur : 

"Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang kami,kubur di 

hadapan kami,kiamat itu janjian kami,neraka itu memburu kami dan perhentian 

kami ialah ALLAH."

Menangislah di sini,sebelum menangis di sana!!!

You Might Also Like

0 strawberries yummy

Follow me

Like us on Facebook

Follow us

Flickr Images