Copy paste(Sikap Pemimpin)

5:03:00 AM

**************************************************************                      (Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Pemimpin adalah pelayan umatnya. Bukan sebaliknya, bagai raja yang selalu minta dilayani.”)
*****************************************************************
Sebelum anda meneruskan bacaan..saya menasihatkan baca secara perlahan.kalau agak2 masa tak sempat jangan baca dulu.Baca di lain masa.Rasanya blog ni tak lari.Bolehkan? Nak bagi meresap dalam hati bila baca.Kalau tergesa-gesa..bacaan tu diiringi syaitan.Sikap tergesa-gesa tu sikapnya syaitan.kalau dah bersedia baru teruskan bacaan.
Setelah diumumkan pelantikannya sebagai khalifah, Umar bin Abdul Aziz menyendiri di rumahnya. Tidak ada orang yang datang menemui beliau, dan beliau sendiri tidak mahu keluar menemui sesiapa pun.
 -credit to spiritual life blog-
Dalam kesendirian itu, beliau menghabiskan waktu dengan bertafakur, berzikir, dan berdoa. Pengangkatannya sebagai khalifah tidak disambutnya dengan pesta, tetapi dengan cucuran air mata. Tiga hari kemudian beliau keluar. Para pengawal menyambutnya, hendak memberi hormat. Umar segera menghalangnya dengan berkata, “Kamu semua jangan memulakan salam kepada saya. Sayalah yang memulakan salam kepada kamu.”
Itulah perintah pertama khalifah kepada pengawal-pengawalnya. Umar menuju ke sebuah ruangan. Para pembesar telah menunggunya. Hadirin terdiam dan serentak bangkit berdiri memberi hormat. Apa kata beliau?Nak tahu baca selanjutnya kisah menarik ni.
“Jika kamu duduk, saya pun duduk. Jika kamu berdiri, saya pun berdiri. Manusia itu sebenarnya hanya berhak berdiri di hadapan Rabbul ‘Alamin.”
Sikap pemimpin dalam Islam sepatutnya sedemikian rupa, sebagaimana kata Rasulullah s.a.w, pemimpin adalah pelayan umatnya. Sabda Nabi itu sungguh istimewa kerana seorang pemimpin biasanya seperti seorang raja. Dan sebagai khalifah, Umar bin Abdul Aziz mewarisi budaya itu – hidup dalam kemewahan dan kekuasaan.
Bagaimanapun, Umar tidak meneruskan budaya ‘menguntungkan’ secara peribadi itu. Beliau tidak mahu dihormati berlebih-lebihan dan hidup dalam kemewahan. Beliau memilih untuk bersikap rendah hati dan sederhana. Sebagai pemimpin besar, bersikap rendah hati, sederhana, dan melayani tentunya tidak mudah. Apatah lagi apabila kesempatan bermewah-mewah itu memang terbuka di depan mata. Siapa tidak tergiur?
Di sekeliling kita sekarang ini, kedudukan dan jawatan pemimpin menjadi rebutan. Bahkan ramai yang mati-matian berkorban apa saja, dengan segala cara untuk mendapatkannya. Setelah berjaya meraihnya, pertama sekali yang dilakukan adalah pesta meraikan kemenangan.
Kemudian segeralah digunakan segala kedudukan yang ada, jadilah OKB (Orang Kaya Baru). Gaya hidup dan pergaulannya berbeza daripada sebelumnya seolah-olah menikmati kemewahan itulah yang menjadi impiannya.
Mari kita buka hati ini. Menerusi berbagai-bagai usaha yang dilakukan sehingga tercapainya gaya hidup mewah itu, apa sesungguhnya yang kita cari? Dengan kereta mewah, rumah besar, pakaian serba mahal, apa sebenarnya yang dirindukan di dalam lubuk hati kita? Mungkin terdetak dorongan… hidup terhormat dan dimuliakan.
Mari kita bercermin kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Kita tenangkan hati dan jernihkan fikiran sejenak. Andai beliau memilih cara hidup mewah dan bermegah dengan kekuasaan sebagaimana raja-raja atau pempimpin yang lain, akan harumkah namanya hingga ke hari ini? Mungkin saja kemewahan singgahsana boleh menjadi topeng kemuliaan di hadapan orang ramai (rakyat). Namun, berapa lama ‘kemuliaan’ seperti itu dapat bertahan?
Lihatlah para pegawai yang menyalahgunakan kekuasaan demi mengejar kemewahan. Bagaimana akhir kehidupan mereka? Masa tua hidup tidak tenteram, malah gundah-gulana. Kemuliaan yang dibungkus kebendaan hanyalah bersifat sementara dan pembohongan belaka.
Sesungguhnya Allah s.w.t tidak menyukai orang-orang yang sombong sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri. Dan sederhanakanlah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu.” (Luqman: 18-19)

Memang tidak mudah untuk selalu bersikap rendah hati dan memilih hidup melayani atau memenuhi kehendak / keperluan orang. Apatah lagi kalau terjebak dalam dorongan biologi dan egoisme semata. Semasa memegang kekuasaan, yang difikirkan adalah apa yang boleh diambil menerusi kedudukan ‘mulianya’ itu, bukan kebaikan yang boleh diberikan pada orang lain.
Sikap melayan atau perlu memenuhi keperluan orang lain dirasakannya sebagai suatu penghinaan, seolah-olah kerja-kerja sebegitu sepatutnya dilakukan oleh orang-orang yang rendah kedudukannya. Padahal ‘melayani’ inilah misi mulia yang sebenarnya diamanahkan Allah kepada hamba-Nya yang terpilih: Rasulullah s.a.w dan orang-orang yang mengikuti jejak baginda.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutus kamu, melainkan untuk menjadi / membawa rahmat bagi semesta alam.” (al-Anbia: 107)
Dengan berbahagi dan berkongsi rahmat, tersebarlah belas kasih dan kedamaian dalam kehidupan.
Dalam bekerja, seorang pemimpin akan senantiasa berfikir bagaimana pekerjanya gembira dan sejahtera. Pekerja juga berfikir bagaimana boleh memberikan layanan atau balasan terbaik melalui pekerjaannya.
Sebagai pemimpin keluarga, seorang ayah yang mengasihi keluarganya akan berusaha membawa keluarganya ke arah suasana ‘sakinah’. Anak-anaknya juga terdidik untuk meneladani dan berbakti kepada kedua-dua orang tua. Setiap orang yang melayani dan berbuat sesuatu kepada orang lain dengan ikhlas bererti telah berperanan ‘menebar rahmat’ ke seluruh alam. Itulah tugas terhormat seorang pemimpin. Dan setiap daripada kita pada hakikatnya adalah pemimpin, begitu sabda Rasulullah s.a.w.
Apabila setiap orang berfikir minta dilayani, maka risiko akan terjadinya krisis adalah tinggi. Pemimpin minta dilayani oleh orang bawahannya. Majikan memeras para pekerja. Petugas-petugas menyusahkan rakyat. Orientasinya bukan ‘rahmatan lil ‘alamin’, tetapi keuntungan peribadi. Kekayaan alam yang mestinya untuk kesejahteraan rakyat, dikikis untuk bermewah-mewah bagi diri sendiri dan kroninya.
Melihat perilaku pemimpin / ketua yang seperti itu, rakyat / orang bawahan juga terikut-ikut mencari keuntungan sendiri. Sudah kaya dan berkecukupan, namun tetap tidak bersyukur, malah ada yang ‘menggelapkan’ bantuan yang sepatutnya diberi kepada fakir miskin. Sesungguhnya cara hidup sebegini tidak akan berjejak kepada kemuliaan, tetapi menghala ke jurang kehinaan. Dam inilah yang banyak berlaku di sekeliling kita sekarang.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sewajarnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.” (al-Israa’: 16)
Bayangkan kalau ada orang yang rendah hati, menghormati sesama manusia, dan suka melayani dan membantu orang lain. Tidakkah hati kita menyukai dan terkesan akan keikhlasannya? Orang seperti itu akan membahagiakan hati sesama manusia. Kalau dia seorang bapa, keluarganya akan menghormatinya dengan tulus. Kalau dia seorang ibu, anak-anaknya tentu akan senantiasa merinduinya. Kalau seorang dia pemimpin atau ketua, tentu akan memberi inspirasi kepada sekalian rakyat atau orang bawahannya.
Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah membuktikan akan keberkatan yang diperoleh daripada sikap rendah hati. Meskipun hanya memegang jawatan khalifah selama dua tahun, telah berlaku perubahan yang besar dala pemerintahannya. Akhlak rakyatnya yang sebelumnya buruk berubah menjadi baik.
Masyarakat giat bekerja dan hidup dalam hidup dalam sejahtera. Kemakmuran dapat dikecapi. Rakyat teguh ekonominya dan mereka berlumba-lumba menunaikan zakat. Fakir miskin tiada lagi sehingga sangat sukar mencari orang yang wajar menerima zakat. Memberi dan memberi, itu yang menjadi pegangan mereka. Bukan meminta dan meminta.
Hal sebegini dapat disejajarkan dengan firman Allah yang bermaksud: “Jika sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi.” (al-A’raaf: 96)
Berdasarkan kecemerlangan beliau sama ada dari segi akhlak beliau sendiri mahupun rakyat di bawah pemerintahannya, juga kemakmuran yang dapat dikecapi, tidak menghairankan jika Umar bin Abdul Aziz digelar sebagai ‘Khulafa Ar-Rasyidin kelima’ selepas Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman, dan Ali.

You Might Also Like

0 strawberries yummy

Follow me

Like us on Facebook

Follow us

Flickr Images