Terakhir [Roh Amal][Roh berDoa]

5:09:00 AM

ROH BERDOA

Bagaimanakah pula roh amal dalam berdoa? Doa itu dalam bahasa Melayu maksudnya ‘meminta’. Maka antara rohnya:

. Mesti faham apa yang kita minta kepada Allah SWT. Kalau kita meminta tetapi tidak faham apa yang kita minta, maka itu satu hal yang pelik. Katalah kita minta sesuatu daripada kerajaan, apabila ditanya, “Apa yang kamu minta?” Kita jawab, “Tidak tahu.” Bukankah aneh dan pelik?


. Waktu berdoa itu mesti rasa merendah diri dengan Tuhan. Ibarat kita hendak minta sesuatu daripada menteri, janganlah bercekak-cekak pinggang di hadapannya, sebaliknya mesti dengan bahasa yang lembut dan merendah diri. Jadi waktu kita berdoa itu mesti rasa merendah diri dan meng-harap kepada Tuhan.

. Termasuk juga roh berdoa, waktu berdoa itu kita yakin Allah terima doa kita. Jangan pula sewaktu berdoa hati kecil kita berkata, “Entahlah, akan Allah kabulkan atau tidak…” Ertinya dalam meminta itu kita sudah jahat sangka dengan Allah. Jadi, dalam apa saja yang kita buat, roh amal itu mestilah kita kekalkan. Hinggakan diam pun mesti ada roh. Roh diam itu ialah sewaktu diam itu, kita berfikir. Berfikir tentang kebesaran Allah, tentang diri sendiri sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya, tentang dosa, tentang mati, tentang perjuangan dan tentang Akhirat. 

Juga berfikir tentang perjuangan, tentang apa lagi pengorbanan yang kita hendak buat dan tentang tanggungjawab yang belum kita laksanakan. Sebab itulah diam orang mukmin yang bertaqwa itu diang-gap ibadah dan diberi pahala, kerana diamnya itu ada roh. Ia kadang-kadang lebih baik daripada orang yang tidak bertaqwa yang nampaknya aktif di tengah gelanggang kehidupan ini. Jadi amal ibadah kita, perjuangan kita, usaha kita dan lain-lain lagi itu mesti mempunyai roh. Kalau tidak, semua amal kita itu hanya rangka-rangka atau jasad lahir semata-mata. Ia seperti bangkai sahaja. Amal tanpa roh adalah sia-sia kerana yang Allah nilai adalah rohnya, walaupun kita wajib beramal. Oleh itu roh setiap amal hendaklah kita jaga agar ia ada nilai di sisi Allah SWT.

KENAPA AMALAN TIDAK ADA ROH

Kenapa ibadah, perjuangan, jihad dan segala amal tidak ada roh? Apa puncanya? Ia adalah kerana:

1. Cinta dunia, iaitu gilakan perempuan, gila pangkat, cinta nama, cinta kedudukan, cinta kemasyhuran dan lain-lain.

2. Dosa-dosa yang kita buat.

3. Tidak ada kefahaman. Walaupun kita beramal ibadah, tetapi kerana tidak faham (jahil), maka amal ibadah kita itu tidak ada roh.

Apabila amalan kita tidak ada roh, ertinya kita beramal dalam keadaan lalai. Jika kita berdakwah tapi rohnya tidak ada, ertinya kita berdakwah dalam keadaan lalai. Kalau kita berekonomi walaupun berjaya dan dapat menegakkan yang halal tapi rohnya sudah tidak ada maka kita berekonomi dalam keadaan lalai. Betapalah kalau terlibat dengan yang haram. Kalau kita bermusafir tanpa rohnya, ertinya bermusafir dalam keadaan lalai. Kalau kita mengajar walaupun mengajar ilmu Tuhan (ilmu tauhid, feqah dan tafsir) sekalipun tapi rohnya sudah tidak ada, ertinya mengajar dalam keadaan lalai.

Begitu juga kalau kita belajar, berjemaah, bertemu dan berjihad tanpa roh, ertinya semuanya itu dalam keadaan lalai.  Sifat lalai ini dimurkai Allah. Lalai itu termasuk “dunia”. Sebab yang dikatakan “Akhirat” itu ialah sesuatu yang ada hubungan ingat kepada Allah. Kalau tiada hubungan ingat kepada Allah, itu amal dunia namanya. Sedangkan dalam Al Quran ada menyatakan: “Jangan kamu menjadi orang yang lalai.” (Al A’raf: 205)

Tegasnya setiap usaha dan ikhtiar kita mesti disertakan rohnya. Sebab rohnya itulah tempat nilaian Allah. Inilah yang dimaksudkan oleh Hadis:
 
“Hendaklah kamu takut kepada Allah di mana saja kamu berada, dan hendaklah kamu ikuti kejahatan itu dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskannya. Dan hendaklah kamu berakhlak dengan sesama manusia dengan akhlak yang baik.” (Riwayat At Tirmizi)

Ertinya dalam masa kita berjihad, kita mesti ada rasa takut kepada Allah. Begitu juga dalam masa kita bersembahyang, beramal ibadah, bermusafir, bergaul, bertemu dan berjemaah, mesti ada rasa takut kepada Allah. Jadi adanya rasa takut dalam apa saja tindakan yang kita buat itulah sifat-sifat taqwa. Itulah roh-roh amal yang telah digambarkan tadi. Oleh kerana itulah dalam kitab ada dinyatakan, “Cukuplah dua rakaat sembahyang sunat tetapi dikerjakan dalam keadaan takut kepada Allah SWT daripada beribu-ribu rakaat yang tidak disertakan rasa takut kepada Allah (roh amal itu tidak ada atau rasa taqwa tidak ada).


Jadi kita perlu membangunkan roh dalam setiap amal yang kita buat kerana di situlah nilaian Allah. Kalau kita boleh jaga roh amal dalam setiap apa yang kita buat, insya-Allah, Allah akan sentiasa bantu kita ke jalan-Nya yang lurus. Susah sekali hendak kita jaga roh amal ini. Inilah yang dikatakan ilmu tasawuf yang orang tolak hari ini. Pada roh amal inilah letaknya kejayaan umat Islam.

You Might Also Like

0 strawberries yummy

Follow me

Like us on Facebook

Follow us

Flickr Images