Di kala rindu pada sentuhan itu ~_~

5:03:00 PM

Jadilah seperti anak2x  akhirat, yang melihat dunia dari jendela akhirat
-pesan terakhir ayah-


Dikala rindu pada sentuhan insan bernama ayah, pasti akan mengalir air mataku..Di kala rindu pada pesanan, nasihat,suara dan pujukan ayah..lantas aku buka satu folder document dimana terkandung nasihat dari seorang ayah buat anak puterinya..Meskipun ia bukan dari ayah..tetapi setiap kali membacanya..aku dapat merasakan ayah berbicara denganku..Hampir setahun ayah meninggalkan kami tapi terasa seolah baru semalam ayah meleraikan pelukan terakhirnya..Pelukan yang hangat dengan seribu tanda tanya seolah ada sesuatu yang ayah ingin sampaikan pada ku..Tapi segalanya dilepaskan melalui pelukan terakhir tersebut.Jika dulu setiap kali menghampiri exam, ayah akan telifon dan berikan kata semangat..kini meskipun ayah telah tiada..aku tetap bersemangat!!!kerana ditubuhku mengalir darah dan semangat ayah yang membara.Semangat ayah tumbuh dan sentiasa hidup dalam tubuhku..Terima Kasih ya Allah..



Assalamualaikum warahmatullah…

Puteriku,

Sewaktu aku ingin menitipkan tintaku ini buatmu aku merenungimu dengan penuh kasih sayang. Waktu itu engkau baru berumur beberapa hari selepas engkau dilahirkan kedunia ini oleh ibu yang mengandungkan dirimu. Aku bersyukur kerana aku dianugerahkan seorang cahaya mata bernama wanita yang bakal mewarisi sifat kelembutan ibumu sebagai wanita solehah.

Namun perlu engkau ingati akan kelembutanmu itu, bukanlah diskriminasi Tuhan terhadapmu. Aku berpesan buatmu tentang keadilan Tuhanmu. Betapa agungnya Dia menciptakan dirimu sebagai insan yang bernama wanita supaya kau sanjungi anugerahNya buatmu.

Keagungan Tuhanmu mengatasi segalanya. Oleh itu patuhilah segala perintahNya lantaran kau terpilih dijadikan cuma sebagai hamba dan jauhilah laranganNya untuk menunjukkan kasihmu terhadapNya. Perhatikan segala amanahNya buatmu kerana amanahNya perlu kau dahulukan daripada amanah makhluk-makhlukNya. Selamatlah dirimu tika mana kau memilih jalan Taqwa dan meninggalkan perangkap maksiat dan kehinaan.

Puteriku! 
berimanlah dikau dengan Allah yang Maha Agung. Yakinilah pada ajaran dan sunnah Rasulullah saw. Berpeganglah pada dustur yang mengajarmu tentang tarekat hidupmu lantas ketauhidanmu akan mengikat Taqwa dan imanmu terhadap penciptamu. Yakinilah bahawa setiap perkhabaran para Rasul itu benar sekalipun berita yang di bawa itu bukan cuma berita gembira.

Sewaktu kecilmu engkau diasuh ibumu. Engkau dibelai manja. Ketika salahmu engkau diteguri supaya engkau berhati-hati di lain kali. Ketika betulmu aku dalam diam mensyukuri kepintaran yang dikurniakanNya buatmu. Patuhilah perintah kedua ibu bapamu selagimana ianya tidak berselisih dengan ajaran Islam. Usahlah engkau bersedih tika engkau gagal sekali. Sebaliknya berusahalah dengan lebih gigih kerana engkau masih mempunyai peluang untuk kali kedua. Janganlah engkau pencilkan kesedihan dengan esak tangismu yang menyayukan hati. Janganlah engkau salahkan Tuhanmu tika lara dan duka mengunjungi laman hidupmu. Sedarilah itulah ujian TuhanMu untuk menilai kesabaran dan ketaqwaanmu terhadapNya.

Puteriku,

Engkau adalah anak pasca alaf kemodenan. Paling tidak engkau adalah generasi akhir zaman. Oleh itu janganlah engkau sia-siakan zaman mudamu dengan hiburan dunia yang melekakan. Penuhilah dadamu dengan ilmu. Tidak rugi engkau menjadi seorang yang berilmu seperti beberapa tokoh serikandi Islam yang pernah melakarkan sumbangan mereka terhadap Tamadun Islam.

Lihat saja Saidatina 'Aisyah r.a yang terdidik oleh Madrasah Rasul. Dia betah menjawab persoalan-persoalan yang diajukan lantaran kefaqihannya yang terbukti. Mengimbaskan nostalgia Saidatina Khadijah r.a pasti kita terpana akan perngorbanannya yang sukar untuk ditandingi. Pun begitu menyorot kezuhudan dan agung kasih serta cintanya terhadap Ilahi tentu sahaja engkau pernah mendengar akan nama Rabiatul Adawiyah. Kesemua mereka itu adalah wanita. Beruntunglah engkau duhai puteriku jika engkau menyusuli jejak mereka. Aku sengaja menampilkan peribadi-peribadi tadi bukan untuk menghasut cemburumu, malah aku mahukan engkau menaladeni jejak mereka. Tidak salah untukmu terjun kejihad kerana ikhlasmu untuk menegakkan agama Allah. Aku tidak mengajar engkau untuk takut akan mati syahid. Pernahkah engkau mendengar kalam seorang mujahid tentang perjuangan?

Telah berkata As-Syeikh Abdul Qadir Audah: "Jika aku dipenjarakan kerana perjuangan suci ini, aku boleh beruzlah. Jika aku dibuang daerah, aku boleh melancong percuma dan jika aku dibunuh kerana perjuangan yang benar ini maka aku dapat bertemu Tuhanku sebagai seorang syuhada'." 

Seandainya ayahmu pergi dulu, maafkanlah. Kadangkala apa yang berlaku di tengah-tengah perjalanan ini adalah diluar kekuasaan kita. Perpisahan ini  bukanlah kehendak ayahmu yang sebenar-benarnya tapi inilah dia tuntutan janji Sang Pemilik segala HATI.Jangan jadikan perpisahan ini sebagai dendam yang membara dalam diri mu.Jangan kita menjadi hakim, dan jangan pula kita jadi pendakwa mahupun pembela.Terimalah segalanya dengan redho akan ketentuan Tuhanmu..kerana setiap jiwa pasti mati..setiap roh pasti kembali.

Puteriku..
setiap racun ada penawarnya, setiap kesilapan ada puncanya dan setiap dugaan pasti ada kenikmatannya..

Puteri-puteriku..
Berbicara soal perjuangan merupakan suatu realiti kerana hidup ini adalah sebuah perjuangan. Perjuangan membebaskan diri dari cengkaman kekufuran terhadap Ilahi. Perjuangan menundukkan hawa nafsu yang sering meronta di dalam diri. Perjungan di titian kesabaran mengerjakan perintah dan meninggalkan larangan Tuhan. Perjuangan mendidik diri menjadi seorang hamba dan perjuangan untuk merintis serta mengembalikan kedaulatan Daulah Islamiah yang telah lama hilang. Ya… itulah tugas utama kita. Itulah amanah yang perlu kita lunaskan semenjak kejatuhan Khilafah Islamiah Uthmaniah pada tahun 1924M. Maka sehinggalah perjuangan murni itu mencapai noktahnya yang entah bila janganlah engkau menyimpangkan diri dan hatimu dari terus bersama dalam ribat Jamaah Islam.

Puteriku,

Sampai masanya nanti engkau bakal menjadi seorang isteri dan seterusnya bergelar seorang ibu. Usahlah engkau ragui akan jodohmu kerana lelaki soleh itu adalah untuk wanita solehah. Dari itu jika engkau mengidamkan bakal suamimu sehebat Saidina Ali k.w jadikanlah dirimu laksana semulia Fatimah al-Zahra'. Aku nukilkan kata-kata Asma' binti Kharizah Fazari r.a. diriwayatkan bahawa ia telah berkata kepada puterinya pada hari perkahwinan anaknya, "Wahai anakku, kini engkau akan keluar dari sarang di mana engkau dibesarkan. Engkau akan berpindah ke sebuah rumah dan hamparan yang belum engkau kenali. Itulah suami mu.Jadilah engkau tanah bagi suamimu (dengan mentaat perintahnya) dan ia akan menjadi langit bagi mu (tempat bernaung). Jadilah engkau sebagai lantai supaya ia dapat menjadi tiangnya. Jangan engkau bebaninya dengan berbagai kesukaran kerana itu akan memungkinkan ia meninggalkan mu. Kalau ia mendekatimu,dekatilah ia dan jika ia menjauhi mu maka jauhilah ia dengan baik.Peliharalah benar-benar suamimu itu akan hidungnya, pendengarannya, matanya dan lain-lain. Janganlah pula ia mendengar melainkan yang enak dan janganlah ia melihat melainkan yang indah sahaja daripada dirimu. 

Puteriku,

Barangkali engkau sudah bosan membaca warkahku ini. Aku tidak pasti bilakah masanya engkau bakal membaca warkahku ini. Kalau engkau membacanya tika aku masih di sampingmu maka anggaplah ini pesanku buatmu wahai puteriku. Jika engkau membacanya tika aku sudah disemadikan itulah wasiatku buatmu.

Untuk mengakhiri warkahku ini aku juga ingin berpesan sebagaimana Luqman al-Hakim berpesan kepada anaknya…

Telah berpesan Luqman Al-Hakim kepada anaknya, 
"Sepanjang hidupku, aku hanya memilih 8 kalimah dari pusaka para Nabi yang lalu iaitu :-
"Apabila engkau sedang solat kepada Allah s.w.t. maka jagalah baik-baik fikiranmu.
Apabila engkau berada di rumah orang lain, maka jagailah pandanganmu.
Apabila engkau berada di tengah-tengah majlis maka jagalah lidahmu.
Apabila engkau hadir dalam jamuan makan maka jagalah perangai dan adabmu.
Ingatilah kepada Allah s.w.t.
Lupakan budi baikmu terhadap orang lain.
Lupakanlah semua kesalahan orang lain terhadapmu.
Sentiasalah mengingati mati."


Ayahandamu..



You Might Also Like

1 strawberries yummy

  1. semoga arwah gembira punya puter sperti enti..

    ReplyDelete

Follow me

Like us on Facebook

Follow us

Flickr Images