Untukmu Hannan..

3:41:00 AM

Biarpun insan lain mengatakan sesuatu tentang dirimu..ketahuilah..Allah sentiasa bersamamu..Biarpun seluruh dunia ini cuba melakukan penganiyaan terhadap dirimu..ketahuilah!!!Allah pelindung dirimu...Justeru..hannan..aku tidak mempunyai apa-apa melainkan kisah-kisah kecil dari orang-orang yang berjiwa besar untuk ku kongsikan..Moga-moga hannan juga bisa seperti itu..kerana sifat Umar jelas dalam dirimu..lalu akan kuhadiahkan kisah Umar buatmu...(poyo jerk ayat aku ni kan..kan..)


Dalam menempuh jalan yang berliku..kita punya banyak jalan untuk mengetahui kelemahan diri kita,keaiban diri kita..antaranya seperti katamu..berjumpalah dengan guru-guru yang mursyid..yang dapat membaca hatimu meskipun tanpa sebarang bicara..Tetapi yang malangnya bagi kita di akhir zaman ini, guru yang soleh serta yang berpandangan tembus yang hatinya selalu hampir dengan Allah swt amat payah hendak kita dapati. Guru seperti ini adalah guru yang digambarkan oleh Rasulullah saw di dalam hadisnya yang bermaksud:

“Hendaklah kau takut tentang firasat seorang mukmin itu. Kalau dia melihat, dia melihat dari cahaya Allah.”

Maksudnya, seorang mukmin itu, kalau dia melihat sesuatu, dia dipimpin oleh Allah hingga pandangannya tepat, gerak hatinya atau rasa hatinya tepat serta apa yang difikirkannya tepat. Guru yang mukmin semacam inilah yang susah hendak kita cari pada masa ini. Tetapi yang banyak kita temui ialah sepertimana kata Rasulullah saw, guru-guru yang menjadi tukang-tukang syarah saja tetapi tidak mursyid.

Guru-guru yang mursyid ialah guru yang mempunyai pandangan tembus melalui firasat, kalau pun tidak melalui mukasyafah.

Jalan yang kedua yang boleh kita tempuh untuk mengetahui kecacatan dan keaiban diri kita ialah dengan mencari seorang sahabat. Adapun seorang sahabat yang sebenarnya ialah sahabat yang beragama lagi soleh dan bertaqwa. Dia bersifat benar dalam serba serbi, benar akidahnya, benar percakapannya, benar perbuatannya dan sebagainya. Sahabat seperti ini
hendaklah kita damping selalu. Kita makan minum bersama-samanya, kita bergaul bersama-samanya, tidur baring bersamanya, berjalan-jalan bersamanya dan seterusnya.

Seorang sahabat yang benar-benar, dia akan memiliki sifat ini iaitu sifat yang menjadi pakaian kepada mukmin yang sejati sepertimana sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Tidak sempurna iman seseorang kamu itu hingga dia mencintai saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri.”

Seorang sahabat yang benar, yang lurus dan yang mempunyai pandangan tembus juga, dia tidak akan merasa senang atau resah gelisah terhadap apa yang berlaku pada diri sahabatnya yang lain sepertimana tidak senangnya dia terhadap apa yang berlaku pada dirinya. Kalau sahabatnya berdosa, dia merasa seolah-olah macam dia berdosa. Begitu juga, kalau sahabatnya itu mendapat kesenangan, dia merasa senang hati.Daripada seorang sahabat yang sebenar-benarnya, kita juga boleh mengetahui kecacatan dan keaiban kita sepertimana kita dapat mengetahuinya melalui berguru.

Sikap seorang sahabat seperti yang di huraikan tadi memang ditunjukkan oleh para-para sahabat Rasulullah, orang-orang soleh dan para-para pemimpin zaman dahulu. Umpamanya Saidina Umar, seorang tokoh Islam yang ulung Khalifah Islam yang kedua selepas Saidina Abu Bakar dan seorang mukmin yang amat keras mempertahankan kebenaran, tegas dalam berpegang kepada hukum hakam serta sangat kuat memisahkan di antara yang hak dengan
yang batil, dia juga telah memperlihatkan sikap mencari seorang sahabat yang dapat menyuluh kecacatan dirinya. Sebab itu, di dalam kitab-kitab ada diriwayatkan kata-kata Saidina Umar yang bermaksud; “Moga-moga Allah swt dapat merahmati seseorang yang
telah dapat menunjukkan kesalahan-kesalahan aku.”

Saidina Umar yang begitu besar kedudukannya pun, dia begitu gembira kalau ada sahabat-sahabat yang dapat menunjukkan kepadanya kecacatan dirinya. Di antara sahabat Rasulullah yang menjadi tempat Saidina Umar bertanyakan tentang sifat-sifat kecacatan pada dirinya ialah Abu Huzaifah ra. Adapun Abu Huzaifah ini adalah seorang sahabat Rasulullah yang ulung juga. Kelebihannya ialah, dia mempunyai pandangan tembus serta boleh membaca hati orang. 

Dari segi lahirnya, Saidina Umar adalah lebih tinggi kedudukannya daripada Abu Huzaifah, namun Saidina Umar diriwayatkan pernah bertanya Abu Huzaifah kerana bimbang dan takutnya, kalau-kalau ada sifat-sifat munafik dalam dirinya. Kata Saidina Umar, “Wahai Abu Huzaifah, Engkau adalah memiliki rahsia-rahsia Rasulullah saw. Adakah engkau melihat pada diri aku ini, bekas-bekas sifat munafik.” Begitu sekali, Saidina Umar menunjukkan sikapnya dalam hendak mengetahui kecacatan-kecacatan yang ada pada dirinya. Padahal Saidina Umar itu sendiri adalah seorang yang penuh taqwa lagi soleh yang dia sendirinya mempunyai pandangan tembus. Kerana ketaqwaan Saidina Umar itu sendiri, syaitan-syaitan pun takut dengannya.

Rasulullah saw pernah mengatakan betapa takutnya syaitan kepada Saidina Umar, jangankan hendak menggodanya, malah hendak melalui jalan yang pernah ditempoh oleh Saidina Umar pun Syaitan takut. Begitu sekali tingginya taraf keimanan Saidina Umar. Di dalam satu riwayat lain, Rasulullah pernah menggambarkan ketinggian iman Saidina Umar dengan mengatakan betapa, kalaulah ada Nabi selepas dari baginda, maka Saidina Umarlah. Tetapi, oleh kerana Rasulullah itu penamat segala nabi dan Rasul, maka tidaklah berlaku.

Walau bagaimana tinggi sekali sanjungan Rasulullah saw kepada Saidina Umar malah beliau adalah di antara sahabat-sahabat yang dijamin syurga oleh Rasulullah waktu hidupnya lagi, dia tetap takut dengan dirinya, bimbang kalau-kalau ada sifat-sifat munafik. Kalaulah Saidina Umar yang begitu hebat pun takut akan berlakunya sifat-sifat munafik itu dalam dirinya, betapalah kita ini. Kerana, sifat munafik itu amat mudah berlaku. Cuba kita lihat satu contoh munafik yang boleh berlaku kepada kita. Kita selalu mengucapkan di dalam sembahyang yang maksudnya:

“Sesungguhnya, sembahyang aku, ibadah aku dan seluruh hidup dan mati ku ini adalah untuk engkau Tuhan Rabbul ‘alamin.”

Ini adalah janji dan ikrar kita kepada Allah swt di dalam sembahyang. Kemudian cuba kita suluh perbuatan lahir kita di luar sembahyang, apakah ia menepati janji kita di dalam sembahyang. Seandainya perbuatan kita di luar sembahyang tidak menepati janji itu serta
tidak selaras dengannya, maka telah berlakulah sifat munafik dalam diri kita. Sebab itu, sepatutnya, hendaklah kita lebih risau tentang diri kita daripada kita merisaukan tentang diri orang lain. Sepatutnyalah kita lebih risau tentang kesalahan diri kita daripada
kita risau tentang kesalahan diri orang lain. Mana-mana yang boleh kita baiki kesalahan diri orang lain itu, kita cubalah baiki dengan penuh kasih sayang. Tetapi, kalau tidak boleh, maka hendaklah kita doakan dia.

Sahabat-sahabat begitu jujur dan amat mengatahui hati Saidina Umar. Ertinya, kalau mereka memperkatakan tentang kesalahannya, dia tidak akan marah. Maka itu, sahabat tadi menjawab, “Aku lihat, engkau makan dua jenis lauk.” Rupa-rupanya, itu yang hendak disampaikan oleh sahabat tadi. Kalau pada diri kita, makan dua jenis lauk itu tidak ada kena mengena dengan kesalahan yang hendak kita ketahui. Tetapi bagi Saidina Umar, teguran sahabat tadi dirasakannya tersangat berat hinggakan selepas itu dia tidak lagi makan dua jenis lauk.

Kalau kita lihat dari segi hukum, makan dua jenis lauk tidaklah merupakan satu perbuatan dosa, tetapi sudah memang begitu sifat orang mukarrobin. Bagi mereka, ‘kebaikan yang dilakukan oleh orang soleh adalah merupakan satu kesalahan’. Nampaknya, kita jauh dari itu. Bukan sekadar dua jenis lauk saja, malah kadang-kadang sampai lima jenis yang terdiri pula dari ayam goreng, sayur-sayur, dua tiga jenis ikan dan sebagainya, itupun kita tidak ada selera hendak makan. Masih lagi kita rasakan susah hati mengadap hidangan seperti itu. Walau bagaimana pun apa boleh buat, kita terpaksa ceritakan juga perbuatan-perbuatan orang soleh walau pun kita tidak boleh melakukannya. Mudah mudahan dengan kita menceritakan kisah-kisah orang soleh itu menjadi rahmat.

Begitulah sikap Saidina Umar yang digambarkan di dalam sejarah. Walau pun begitu tinggi kedudukannya kalau dibandingkan dengan para-para sahabat yang lain, namun
dia masih lagi bertanya kepada sahabat-sahabat akan kesalahan dan kecacatan dirinya agar dia dapat mengetahui dan membuat pembaikan serentak. Kita mungkin tidak boleh berbuat begitu. Tetapi, jadilah kalau kita boleh ambil tahu tentang kesalahan diri kita dan kita senaraikan kesalahan-kesalahan itu. Mudah-mudahan kita boleh mengawasinya di satu hari
nanti.

Dapatlah kita fahamkan di sini bahawa, orang-orang yang tinggi kedudukannya di sisi Allah swt iaitu orang yang paling hampir dengan Allah, mereka merasakan yang mereka belum berbuat apa-apa terhadap Allah swt walaupun sembahyang, puasa mereka banyak, kuat berjuang dan berjihad, besar pengorbanan dan sebagainya. Walau pun mereka banyak berbuat baik, tetapi mereka merasakan belum berbuat baik. Kata Imam Ghazali rahimahullahu ta’ala, inilah tanda orang yang cerdik. Mereka tidak sempat hendak memikirkan kebaikan dan amal bakti yang telah mereka buat. Sebaliknya, mereka lebih merasakan yang mereka belum berbuat apa-apa. Mereka merasakan seolah-olah mereka banyak membuat kesalahan daripada kebaikan.

Sepatutnya, orang yang memberitahu kita tentang kesalahan itu menerima tahniah dari kita dan banyak-banyak kita berterima kasih kepadanya. tetapi ini tidak berlaku dalam pengalaman hidup kita, sebaliknya orang yang memberitahu itulah yang paling kita marah dan yang amat kita sakit hati. Akhirnya, mazmumah yang ada pada kita tidak kita usaha
membuangnya, tetapi kita tokok tambah dengan mencaci nista orang yang memberitahu kepada kita itu. Kita telah mendendami orang itu. Ada peluang, kita kata pula kelemahannya. Ini adalah berlawanan dengan ajaran Islam. Walau apa pun orang kata kita, kita tidak boleh
membalas dengan kata cerca walau pun memang orang itu sendiri ada kecacatan yang boleh kita kata. Kata Imam Ghazali, orang yang tidak boleh menerima nasihat dan teguran orang lain, itu menandakan hatinya sudah keras.

Sabda Rasulullah s.a.w. : “Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dikaratkan oleh air.” Bila seorang bertanya, “Apakah caranya untuk menjadikan hati-hati ini bersih kembali?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Selalulah ingat mati dan membaca Al Quran”.

hannan..teguran ini buat diriku yang juga keras lagi mempunyai hati kering dan keras macam batu(dah kering keras pulak..dasyat tuh).. lalu ku hadiahkan juga buat dirimu..Jika benar engkau ingin mengikuti jejak langkah Umar..Jangan hanya kau ambil sifat tegas dan amarahnya..tapi ambil juga sifat tawaduk dan takutnya SaidinaUmar akan dosanya..Ingatlah Hannan..dunia ini sementara..dan akhirat juga tempat kembali yang abadi..Sekali lagi hannan..bersabarlah..dan jangan kau hilangkan cahaya kesabaran yang sudah mula terkumpul dalam dirimu.. Carilah seorang sahabat..sebenar-benar sahabat...yang menjadi cermin buat dirimu..(yang pasti bukanlah diriku..yang tak layak langsung nih...)

last but not least..sempat lagi..apsal kuwe tinggal kabeh barang kat bilik aku??ojo lali datang ambik..saja tinggal lah tu..aku nak exam ni petang karang..sempat lagi aku buat karangan panjang untuk hang..Confirm karangan ni nanti yang duk muncul time aku exam..haha.tp still doakan aku leh jawab exam..dan tenkiu kerana merempit untuk aku..Semoga teman kita(madiha) sabar dan redho dengan musibah yang menimpa..Doakan adiknya cepat sembuh.walah.. ojo sedih-sedih gitu lo teman..heheeee..urip jalok hepiiiiiii....

You Might Also Like

0 strawberries yummy

Follow me

Like us on Facebook

Follow us

Flickr Images