Travelog engineer to be:

8:30:00 PM

Bab: Bukan semua yang kita cinta adalah milik kita.

"Bagi manusia yang tidak mengenali erti hidup, maka hidup adalah satu hukuman baginya. "

Saat ini..Musafirku diteruskan lagi. Kala ini aku cuba untuk mengimbau kembali zaman remajaku yang penuh dengan drama tari kehidupan yang sepastinya pernah dan sentiasa menggamit memori dan bisa membuatkan aku tersenyum sendirian. Perjalanan yang penuh dengan nostalgia lama yang membuak-buak untuk diluahkan. Nostalgia yang pasti tidak akan kulupakan selagi hayat dikandung badan.

Aku tiba ke Kuala Lumpur bersendirian tidak berteman kira-kira jam 5.30 pagi. Kira-kira pukul 6.30 pagi, aku mengambil keputusan untuk memulakan langkah baru menuju ke KL Sentral. Setibanya di sana, aku merayau-rayau seketika setelah membeli akhbar dan seterusnya nekad untuk bersarapan di situ walaupun aku tahu yang hatiku mungkin terluka lagi akibat memori silam.
Seperti biasa, nasi lemak dan teh tarik menjadi teman setia. Setelah puas melayari internet atau lebih tepat adalah kerana bateri laptopku sudah nyawa-nyawa ikan, aku mengambil keputusan untuk terus pulang ke rumah. Setibanya di rumah, aku disambut dengan senyuman ikhlas dari pak su yang setia menanti. Tangan tua yang telah banyak berjasa itu aku kucup tanda hormat dan sayangku kepadanya.

Seperti biasa, kami berbual mesra di ruang tamu menyentuh pelbagai aspek kehidupan terutamanya politik dan masa depan negara bertuah ini. Sebenarnya isu itu agak sensitif untuk dibincangkan kerana sebelum menjejakkan kaki ke universiti lagi, aku telah diingatkan agar tidak mencampuri sebarang kegiatan politik. Mungkin mereka kini lebih terbuka setelah melihat gelombang baru perubahan akibat pelbagai kepincangan yang dibawa oleh parti pemerintah terutamanya yang melibatkan isu rasuah dan penyelewengan yang melibatkan wang rakyat yang bernilai berbillion-billion ringgit.

Keesokan harinya, kembaraku bakal bermula. Kembara yang bakal menyaksikan terciptanya kenangan dan nostalgia indah untuk dikenang. Setelah terpaksa berhimpit di dalam Putra LRT bersama dengan warga kota yang berpusu-pusu menuju ke tempat kerja kira-kira hampir satu jam, aku tiba di destinasi iaitu di stesen wangsa maju, berhampiran dengan kediaman Ali. Satu perkara berjaya menarik perhatian aku, di dalam kesesakan lautan manusia yang berpusu-pusu menggunakan pengangkutan awam akibat tekanan melampau kesan kenaikan minyak, aku berjaya merungkap satu sisi positif warga kota yang sudah pandai untuk bertolak ansur dalam menggunakan pengangkutan awam terutamanya system LRT. Tiada lagi adegan tolak menolak atau istilah serbu secara berjamaah apabila tibanya sesebuah keretaapi di sesuatu stesen.

Masing-masing beratur dengan tertib dan dengan sabarnya menunggu giliran untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan. Satu kemajuan yang amat membanggakan bagiku yang tersepit dalam lautan manusia yang bertebaran untuk mencari rezeki di bumi tuhan. Syabas buat warga kota!!!

Setelah bersarapan di kedai mamak kegemaran Ali dan mengemas apa yang perlu dibawa, kembara kami ke bumi hang tuah terus bermula. Agak seronok berbual dengan seorang teman yang telah lama menjadi saksi jatuh bangun seorang insan kerdil bernama Umar. Dan topic yang menjadi pilihan tentunya berlegar tentang hala tuju dan masa depan perguruan kami dan kadang-kadang diselangi dengan berita sepak terajang dunia politik Negara dan nostalgia lama ketika di bangku persekolahan, iaitu tika kami berkongsi segala kisah suka dan duka. 

Tetapi sayangnya, kami hanya berdua kerana teman-teman lain agak sibuk dengan agenda peribadi. Dalam perbincangan yang menyentuh tentang isu persilatan, kami sependapat bahawa buat masa kini, agak sukar untuk mencari seseorang yang ikhlas dalam perjuangannya, iaitu hanya untuk mencari redha Ilahi kerana masing-masing sudah di kelabui dengan agenda dan niat tersembunyi demi kepentingan sendiri.

Seperti kaum muslimin yang lain, aku dan Ali tidak ketinggalan untuk bersama-sama menunaikan solat fardhu jumaat di masjid yang pernah menjadi saksi gugurnya kami tatkala khatib sedang mendendangkan khutbah. Tetapi itu kisah 4 tahun yang lalu. Kini kami muncul dengan azam yang baru, menebus masa-masa tidur kami ketika khatib sedang berkhutbah. Dan kami berjaya untuk merealisasikan hasrat yang telah lama kami pendamkan walau berdepan dengan khatib yang tidak henti-henti cuba mendodoikan kami dengan alunan khutbah yang cukup menusuk jiwa. Baru sekarang aku mengerti akan kata-kata “hikmah” dari mantan ustazku iaitu “kadang-kadang saya rasa cukup berdosa kalau tak tido masa khutbah jumaat”. Ustaz maafkan daku kerana pernah menyalah anggap kata-katamu itu.
Pulang dari masjid, kami mengimbau kenangan silam sambil memerhatikan adik-adik junior kami beratur di dewan selera. Aku cukup merindui suasana sebegitu yang penuh dengan hilai tawa terutamanya jika menu menepati selera kami (ikan jaket tidak termasuk dalam menu pilihan). Kami mengambil keputusan untuk meronda sekitar kawasan kelas sambil aku cuba untuk mencari bunga-bunga chenta seperti yang kuhajatkan. Namun hasratku tak kesampaian kerana kelas-kelas kosong tak berpenghuni.

Bosan dengan suasana sebegitu, aku mula mengajak Ali untuk mengatur gerak meneruskan kembara musafir kami. Tapi sebelum berangkat pergi menyusun gerak, kami perlu untuk memaklumkan kepada bonda kami. Agak terkesima dengan suasana baru dewan bendahara yang lebih mengujakan di tambah dengan penyaman udara, kami terlopong dan mula untuk menerima hakikat bahawa sudah 4 tahun kami meninggalkan bumi bertuah ini. Sebelum berangkat pergi, kami dihujani dengan pelbagai nasihat dari bonda kami dan cuma satu yang melekat di dalam benak kepala batuku. Nasihat yang meminta kami agar tidak memainkan hati insan bergelar wanita cukup terkesan dalam hatiku. 
Di dalam perjalanan pulang kami, aku berterusan menyoal Ali sama ada dia ada menceritakan apa-apa kepada bonda kami. Nasihat yang cukup ringkas tapi cukup untuk membuatkan aku tidak senang duduk. Bak kata Ali, “biasa r..orang dah bersalah..memang camtu”.
Musafir kami diteruskan lagi ke bumi Tuan Tulis. Walau tak berjemput, aku gagahkan langkah untuk tetap menghadirinya. Bukan niatku untuk merosakkan majlis, Cuma ada beberapa perkara yang perlu aku jelaskan sebelum si dia sah bergelar isteri orang. Ketika melalui kawasan rumahnya, aku meminta Ali untuk memecut laju menuju ke masjid bagi membolehkan kami untuk menunaikan solat maghrib dan isyak secara jamak sementara waktu maghrib masih bersisa. Selesai menunaikan solat, aku didatangi satu susuk tubuh yang amat aku kenal. Tangan tuanya aku kucup tanda hormat.
Tidak lama kemudian, adik serta kakaknya muncul. Aku hanya mampu tersenyum. Langkahku nyata tersilap dan songsang kali ini. Namun kugagahkan diri untuk menjawab beberapa soalan yang diajukan. Mereka memujukku untuk ke rumah dan aku menolaknya dengan baik memandangkan kami masih perlu meneruskan lagi kembara kami ini. Tapi hati kerasku mula mencair apabila terdengar ayat “mak rindu nak jumpe abang”. Aku hanya mampu mengangguk lemah tanpa mampu lagi tersenyum.
Melepasi masjid, aku terpandang satu jasad yang pernah ku iktiraf di dalam hati dikala bersahaja di dalam kereta. Lantas aku segera meminta Ali memberhentikan kereta. Hairan dengan situasi tersebut, kakaknya keluar melepasi pagar masjid. Aku dengan segera meminta Ali untuk membuka bonet kereta. Dengan pertolongan dari adiknya, barangannya telah selamat kukembalikan.
Dan sebelum berangkat pergi, aku sempat meminta izin dari kakaknya untuk bercakap seketika dengannya. Hanya tiga ucapan yang keluar dari mulutku, “sorry for everything, semoga bahagia and take care”. Aku tidak berani untuk memandangnya, bimbang emosiku akan terganggu untuk membuat ucapan pendek terakhir itu. Dan aku juga tidak langsung memberikan dirinya peluang untuk membalas ucapan terakhirku kerana aku tidak ingin merosakkan majlis orang, maklumlah, kedatangan kami tak diundang.

Di dalam kereta, aku menghubungi satu nombor, memaklumkan bahawa kami dalam perjalanan untuk menziarahi rumahnya. Aku agak terkedu dengan suasana malam itu yang agak meriah namun tetap kosong bagiku. Aku disambut oleh kakak sulungnya bersama-sama imran yang nampak semakin comel. Aku cuba tersenyum walau ku tahu senyuman itu adalah antara yang paling kelat pernah aku lemparkan.
Tangan tua ibunya kucium tanda kasih seorang anak. Setelah dipelawa duduk, aku mula rasa terasing di sebuah rumah yang padaku tidak pernah asing dalam lembaran lepas sejarah hidupku. Aku betul-betul terasing di dalam ruang lingkup dunia asing yang aku cipta. Mujurlah ada Ali sebagai teman bicara.
Setelah menyelesaikan segalanya, kami mula mengatur gerak. Kami dihantar oleh adik bongsunya ke kereta. Menyedari hakikat bahawa ini mungkin pertemuan terakhir dan kami tidak mungkin bersua muka lagi selepas ini, adiknya meminta gambarku untuk dijadikan sebagai kenang-kenangan. Walau berat untuk menyerahkannya, aku gagahi jemariku untuk menekan petak – petak hitam di laptopku. Dan aku memindahkan beberapa fail gambarku kepada telefon bimbitnya dengan menggunakan teknologi Bluetooth. Sengaja aku lengah-lengahkan agar aku dapat melihat si dia berjalan di sisi insan yang selayaknya bergelar suami buatnya.
Detik yang ditunggu muncul jua akhirnya. Aku hanya mampu mengukirkan senyuman tatkala melihat si dia berjalan beriringan sambil memeluk erat suaminya. Maha Suci Tuhan yang mengurniakan aku kekuatan untuk masih mampu mengukir senyuman walau hidup sentiasa dihempas dan dilambung gelombang. Setinggi-tinggi syukur kurafakkan kepadaMU yang mengurnia dan menentukan setiap kejadian. Moga Engkau gagahkan langkahku untuk menuju masa depan yang lebih gemilang.Benar pesan DIA fi kitabihil Qareem bahawa:

".........................dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya".
(Surah al.Baqarah- ayat 216 ).


Redha dengan ketentuanNya, kami meneruskan jelajah kami ke port Dickson. Tiba di port Dickson agak lewat iaitu kira-kira jam 12.30 pagi, kami mula mengelabah mencari hotel untuk bermalam. Dengan bantuan seorang teman, kami telah berjaya menemui hotel pertama, dan kerana tidak berpuas hati dengan keadaan hotel terbabit kami memutuskan untuk mencari hotel kedua. Hasilnya, kami telah berjaya disesatkan dengan jayanya oleh teman tersebut kerana kesilapan teknikal akibat kecuaian kami. Syukur pada Tuhan yang telah menunjukkan jalan kebenaran setelah kami disesatkan.
Enggan untuk menanggung risiko disesatkan sekali lagi, kami sepakat untuk bermalam di situ memandangkan badan yang sudah teramat penat akibat memandu dan melalak sepanjang hari.

*************************
nota kaki:
  1. ini bukan travelog saya,tapi kawan saya.kerja part time jadi editor.ngeh3x.
  2. nasihat saya buat yang pernah mengalami situasi macam ni adalah..saya quote satu ayat yang saya gemar bagi nasihat kat orang yang putus cinta@ ditinggal pergi.
"""Mungkin sesuatu yang kelihatan sederhana pada pandangan mata, tetapi sangat cantik bila dipandang dengan mata hati. Begitulah rasa hati… semoga kita semua kembali kepada Ilahi, kerana di sana ada keindahan yang hakiki dan abadi.Cintai Tuhan..maka dia akan memberi seluruh dunia dan seisinya agar mencintai anda.Kadangkala Allah sengaja menemukan kita dengan insan yang salah,supaya kita belajar sesuatu darinya dan menghargai masa yang akan datang.Tidak cukup indah kah rencana Tuhan buat kita,wahai insan selayak hamba.??Layakkah kita mempersoal?" -darihatikehati

post signature

You Might Also Like

0 strawberries yummy

Follow me

Like us on Facebook

Follow us

Flickr Images