Jangan kedekut..!!

11:06:00 PM

Bismillahirrahmanirrahim..Assalamualaikum..Dewasa kini,lebih ramai yang suka melabur dalam gadget berbanding dengan pelaburan untuk buku-buku islamik dan program islamik.sahabat2x..melaburlah dalam islam untuk saham akhirat.. :)


COPY PASTE 

Syarat-syarat Pelaburan Islam

Demikian ciri-ciri pelaburan Islam yang jauh berbeza dari pelaburan ciptaan manusia. Terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi apabila ingin melakukan pelaburan Islam:

  • Syarat Pertama: Ikhlas.
Pelaburan hendaklah dilakukan ikhlas kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala dan bukan kerana inginkan pujian orang. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ

وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ

وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا

فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ.

Sesungguhnya amal itu tidak lain hanyalah dengan niat
dan sesungguhnya bagi setiap orang hanyalah apa yang dia niatkan.
Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang berhijrah untuk dunia yang dia inginkan atau kerana seorang wanita yang ingin dia nikahi, maka hijrahnya adalah kepada apa yang dia berhijrah kerananya.[1]


Dalam sebuah hadis diterangkan tentang seorang lelaki yang Allah Subhanahu wa Ta'ala telah mengurniakan kepadanya harta yang pelbagai lagi banyak. Maka pada Hari Akhirat dia dibawa ke hadapan Allah dan Allah bertanya:

فَمَا عَمِلْتَ فِيهَا؟

قَالَ:

مَا تَرَكْتُ مِنْ سَبِيلٍ تُحِبُّ أَنْ يُنْفَقَ فِيهَا

إِلاَّ أَنْفَقْتُ فِيهَا لَكَ.

قَالَ: كَذَبْتَ وَلَكِنَّكَ فَعَلْتَ لِيُقَالَ هُوَ جَوَادٌ فَقَدْ قِيلَ.

ثُمَّ أُمِرَ بِهِ فَسُحِبَ عَلَى وَجْهِهِ

ثُمَّ أُلْقِيَ فِي النَّارِ.

“Apakah yang telah kamu lakukan tentangnya (harta tersebut)?”
Lelaki itu menjawab:
“Tidaklah aku meninggalkan satu jalan yang Engkau sukai agar disedekahkan di dalamnya
melainkan aku bersedekah di dalamnya ikhlas untuk Engkau.”

Allah berfirman: “Kamu berdusta! Sebenarnya kamu melakukannya supaya diperkatakan orang:
‘Dia seorang yang pemurah hati’ dan sememangnya telah diperkatakan sedemikian.”
Kemudian Allah memerintahkan agar dia diheret di atas mukanya dan dicampak ke dalam neraka.[2]


Melakukan pelaburan secara ikhlas tidak semestinya dengan cara yang tersembunyi. Seseorang itu boleh menampakkan pelaburannya jika tujuan melakukan sedemikian adalah untuk mengajak orang lain agar turut melabur. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Kalau kamu menampakkan sedekah-sedekah itu (secara terang-terangan),
maka yang demikian adalah baik (kerana dapat menjadi contoh).
Dan kalau kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin
maka itu adalah lebih baik bagi kamu;
dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu.
Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.
[al-Baqarah 2:271]


Berkata Imam Ibn Katsir rahimahullah terhadap ayat di atas:

Di dalamnya terdapat petunjuk bahawa sedekah secara tersembunyi adalah lebih utama daripada sedekah secara terang-terangan kerana ia dapat menjauhkan daripada sifat riya’. Pengecualian jika suasana mengarah seseorang untuk menampakkan sedekahnya kerana sesuatu kemaslahatan yang penting, agar orang ramai mengikuti tindakannya. Maka dalam suasana seperti ini menampakkannya adalah lebih utama.[3]


  • Syarat Kedua: Melabur Apa Yang Lebih Dari Tanggungjawab.
Pelaburan hanya dilakukan terhadap lebihan harta selepas keperluan asas diri sendiri dan keluarga dipenuhi. Dalam erti kata lain, belanjakanlah harta untuk memenuhi tanggungjawab ke atas diri anda dan keluarga. Seandainya ada lebih, barulah dilakukan pelaburan. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan mereka bertanya kepadamu:
“Apakah yang mereka akan sedekahkan?”
Katakanlah: “(Sedekahkanlah apa-apa) yang lebih dari keperluan (kamu).”
[al-Baqarah 2:219]


  • Syarat Ketiga: Mendahulukan Ahli Keluarga, Sanak Saudara.
Harta yang lebih hendaklah dilaburkan menurut turutan prioriti:
  1. Ahli keluarga, iaitu ibubapa, pasangan hidup, adik beradik kedua-dua pihak (suami-isteri) dan anak-anak.
  2. Sanak saudara, sama ada yang dekat mahupun yang jauh. Bagi yang sudah berumahtangga, maka ia melibatkan sanak saudara dari kedua-dua pihak suami dan isteri.
  3. Anak yatim.
  4. Orang miskin, sama ada yang miskin sejak awal atau orang berkecukupan yang menerima ujian seperti musibah, bala’ dan trajedi alam hingga jatuh ke kedudukan miskin.
  5. Orang musafir yang menghadapi kesukaran dalam perjalanannya.

Ayat berikut menjadi rujukan bagi senarai prioriti di atas:

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad):
“Apakah (dan kepada siapakah) yang akan mereka nafkahkan?”
Katakanlah: “Apa jua harta benda yang kamu hendak nafkahkan maka berikanlah kepada kedua ibu bapa,
kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan.
Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan,
maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya.
[al-Baqarah 2:215]


  • Syarat Keempat: Melabur Kepada Mereka Yang Memerlukannya.
Dalam rangka melaksanakan pelaburan sepertimana prioriti di atas, hendaklah dibezakan antara yang berkecukupan dengan yang memerlukan, antara yang tidak mampu dari sudut mental dan fizikal dengan yang malas dan mengambil kesempatan. Sebagai contoh, jika ahli keluarga dan sanak saudara semuanya dalam keadaan berkecukupan, maka beralihlah kepada anak yatim dan seterusnya. Ini kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:

لاَ تَحِلُّ الصَّدَقَةُ لِغَنِيٍّ وَلاَ لِذِي مِرَّةٍ سَوِيٍّ.

Tidak halal sedekah bagi orang yang kaya, dan tidak bagi orang yang berkebolehan lagi normal
(dari sudut mental dan fizikal).[4]


Syarat ini penting supaya harta tidak beredar di kalangan orang-orang yang berkecukupan tetapi meluas secara adil kepada semua lapisan masyarakat:

… supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.
[al-Hasyr 59:07]

Ia juga penting agar umat Islam tidak menjadi golongan yang malas lagi manja, sebaliknya rajin lagi bersungguh-sungguh mencari harta. Ini berdasarkan perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala yang telah dikemukakan di permulaan buku ini:

Maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah,
serta ingatlah akan Allah banyak-banyak supaya kamu berjaya.
[al-Jumu’ah 62:9-10]


Walaubagaimanapun jika anda tidak pasti sama ada seseorang itu bercukupan atau tidak, malas atau rajin, maka berbaik sangkalah bahawa dia benar-benar memerlukannya. Ini tetap dilakukan sekalipun pada zahirnya orang itu kelihatan berkecukupan serta sihat mental dan fizikal. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan:

لِلسَّائِلِ حَقٌ وَإِنْ جَاءَ عَلَى فَرَسٍ.

Setiap peminta (sedekah) mempunyai haknya, sekalipun dia datang dengan menunggang kuda.[5]


  • Syarat Kelima: Tidak Mengungkit Pelaburan.
Pelabur dilarang dari mengungkit atau menyakiti perasaan orang yang diserahkan harta pelaburannya. AllahSubhanahu wa Ta'ala berfirman:

Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah,
kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu
dengan perkataan mengungkit-ungkit (pemberiannya),
dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi),
mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka,
dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.
[al-Baqarah 2:262]

  • Syarat Keenam: Melabur Harta Yang Baik Dan Halal.

Hendaklah melabur dengan sesuatu yang baik dan halal. Jangan melabur harta yang sudah tidak bernilai, rosak atau memang tidak dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Juga jangan melabur dengan harta yang diperolehi melalui jalan yang haram.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna)
sebelum kamu mensedekahkan apa yang kamu sayangi.
Dan apa jua yang kamu sedekahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
[‘Ali Imran 3:92]

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

مَنْ تَصَدَّقَ بِعَدْلِ تَمْرَةٍ مِنْ كَسْبٍ طَيِّبٍ

وَلاَ يَقْبَلُ اللَّهُ إِلاَّ الطَّيِّبَ

وَإِنَّ اللَّهَ يَتَقَبَّلُهَا بِيَمِينِهِ

ثُمَّ يُرَبِّيهَا لِصَاحِبِهِ

كَمَا يُرَبِّي أَحَدُكُمْ فَلُوَّهُ

حَتَّى تَكُونَ مِثْلَ الْجَبَلِ.

Sesiapa yang bersedekah dengan harga kurma dari hasil usaha yang baik,
kerana Allah tidak menerima melainkan yang baik,
(maka) sesungguhnya Allah menerimanya dengan tangan kanan-Nya.
Kemudian Dia mengembangkannya untuk orang yang bersedekah itu
sepertimana salah seorang dari kalian yang membesarkan anak kuda betinanya
hingga menjadi seperti gunung.[6]


  • Syarat Ketujuh: Melabur Dengan Penuh Kerelaan.
Hendaklah melabur dengan hati yang rela, yakni jangan mengira, menghitung kembali atau bersikap kedekut. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

أَنْفِقِي وَلاَ تُحْصِي فَيُحْصِيَ اللَّهُ عَلَيْكِ

 

وَلاَ تُوعِي فَيُوعِيَ اللَّهُ عَلَيْكِ.


Bersedekahlah dan jangan berkira kerana Allah akan berkira pula ke atas kamu
dan jangan kedekut kerana Allah akan kedekut pula ke atas kamu.[7]


Demikian tujuh syarat Pelaburan Islam.

Ayuh! Marilah kita beralih dari Pelaburan Manusia kepada Pelaburan Islam, dari pelaburan yang meragukan kepada pelaburan yang meyakinkan. Jika sebelum ini anda melabur RM1000.00 untuk membeli amanah saham, maka kini laburkanlah RM1000.00 kepada rumah anak yatim. Jika sebelum ini anda melabur RM2500.00 untuk membeli saham syarikat, maka kini laburkanlah RM2500.00 untuk membeli buku agama yang ilmiah untuk dihadiahkan kepada orang ramai. Jika sebelum ini anda melabur RM15,000.00 sebagai wang pendahuluan membeli dusun, maka kini laburkanlah RM15,000.00 untuk mangsa tragedi alam di dalam atau luar negara.

 


[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 01 (Kitab Bad’u al-Wahyi).
[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1905 (Kitab al-Imarah, Bab orang yang berperang kerana riya’…).
[3] Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim (Muassasah al-Qurtubah, Kaherah, 2000), jld. 2, ms. 473.
[4] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 1634 (Kitab al-Zakat, Bab yang berhak menerima zakat dan batas kekayaan).
[5] Sanad Jayyid (Bagus): Dikeluarkan oleh Abu Ya’la dan sanadnya dinilai jayyid (bagus) oleh Husain Salim Asad dalam semakannya ke atas Musnad Abu Ya’la, hadis no: 6784 (Musnad Husain bin Ali bin Abi Thalib).
[6] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1410 (Kitab al-Zakat, Bab bersedekah dari hasil yang baik).
[7] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1029-2 (Kitab al-Zakat, Bab anjuran untuk bersedekah…).
 post signature

You Might Also Like

0 strawberries yummy

Follow me

Like us on Facebook

Follow us

Flickr Images