Cinta yang Hakiki

10:37:00 AM

Sifat Allah Yang Maha Penyayang jelas menunjukkan bahawa Allah amat menyayangi setiap makhluk yang diciptakanNya. Sesungguhnya Allah telah memberitahu kita bahawa Dia amat dekat dengan kita melebihi jarak urat leher kita sendiri dengan diri kita. Dialah Yang Maha Pengasih dari segala yang pengasih, Dialah yang menciptakan perasaan yang kita sebut 'CINTA'. Semua insan pasti pernah merasai perasaan agung yang disebutkan ini. Tak kira sama ada cinta pada Pencipta, kepada sesama manusia atau pun kepada makhluk Allah yang lain umpamanya sayangkan kucing pemeliharaan kita atau pada harta dan barang kesayangan kita seperti kereta, rumah dan sebagainya.


Tak kiralah cinta apa pun yang anda alami, pengalaman merasai cinta itu amat indah, sehingga ia terus diabadikan oleh ramai manusia didalam sajak-sajak, lagu, filem dan sebagainya, kerana perasaan cinta ini amat indah dan mengasyikkan. Hingga ada yang merana dan kecewa akibat kehilangan cinta. Manusia pernah berperang dan berbunuhan kerana cinta. Banyak juga kisah-kisah cinta dan lagu-lagu yang menjadi amat popular masa kini, yang mana semuanya mejuruskan tentang kehebatan cinta.

Tetapi, apakah kita selama ini pernah sedar, bahawa perasaan yang terlalu hebat ini, adalah satu penciptaan dan anugerah dari Allah? Oleh itu, kita wajib memahami dan menghayati dengan kesedaran yang amat tinggi bahawa :

1. Allah yang telah menciptakan perasaan cinta ini, (Creator and Designer of Love), perasaan ini tidak pernah wujud dan tidak pernah ada dimana-mana pun jua sebelum Allah ciptakan, hanya Allah sahaja yang Maha Memiliki Sifat Maha Pengasih dan Penyayang ini.

2. Maka dengan kehendak dan kesudianNya, maka dianugerahkan perasaan ini kepada makhluknya untuk diketahui dan dinikmati. Maka oleh itu, Hanya Allah Yang Maha Hebat Kasih Sayangnya pada sekalian hamba-hambaNya. Tiada sesiapa pun diantara kita yang dapat menandingi kehebatan cinta Allah S.W.T.

Allah sendiri memberitahu kita bahawa Dia lebih menyayangi kita dari seorang ibu yang sedang menyusukan bayinya. Bayangkanlah betapa besarnya kasih sayang seorang ibu yang sedang menyusukan bayinya, itu pun tidak dapat menandingi kehebatan Kasih Sayang Allah kepada kita. Maka atas alasan apakah untuk kita tidak berterimakasih dan bersangkaburuk pada Allah? Atas alasan apakah untuk kita menafikan bahawa doa dan permintaan kita tidak dimakbulkan Allah? Atas alasan apakah untuk kita mengatakan Allah tidak adil dan berlaku kejam keatas hidup kita?

Mari kita buka minda kita dengan lebih luas lagi dan melihat contoh senario yang akan saya nyatakan ini.

Anda mempunyai seorang anak yang masih kecil yang mengikut anda kekedai untuk membeli keperluan dapur. Dalam pada itu, anak anda terlihat permainan yang tergantung didalam kedai itu dan anak anda merengek supaya dibelikan permainan tersebut. Anda pada mulanya tidak mahu membelikan kerana anda cuma bertujuan untuk membeli barangan dapur. Tetapi kemudian anak anda menangis dan meronta-ronta minta dibelikan juga. Walau apa pun pujukan dan kata-kata anda, tidak dipedulikan oleh anak anda, malah dia menangis dengan lebih kuat lagi. Akhirnya, anda membelikan juga untuknya permainan tersebut.

Mengapa anda belikan juga? walau pun duit anda mungkin tidak berapa cukup, mungkin anda terpaksa membatalkan pembelian sebilangan dari barangan dapur yang anda ingin beli, semata-mata untuk mencukupkan wang bagi membelikan permainan untuk anak anda. Mungkin ada yang menjawab kerana tak tahan dengan rengekan anak itu, tetapi hakikat yang sebenarnya ialah:

1. Anda SAYANG kepada anak anda walaupun anda berasa marah dengan kelakuannya
2. Anak anda telah menunjukkan KEINGINANnya kepada anda dengan kuat

Kesimpulannnya: Adalah penting untuk kita menunjukkan keinginan dan kemahuan kita kepada Allah sekiranya anda mempunyai sesuatu hajat, kerana itu Allah menyuruh kita berdoa padaNya dan berdoalah meminta padaNya dengan cara yang betul-betul menunjukkan padaNYa bahawa kita benar-benar ingin permintaan kita dimakbulkan.Dan Allah itu Maha Penyayang, maka atas sifat Penyayangnya itu, nescaya akan diperkenankan doa anda tersebut.

Firman Allah : Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya akan aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina (Surah Ghafir:60)

Persoalannya, bagaimanakah caranya untuk kita menunjukkan keinginan kita kepada Allah? adakah dengan menangis merengek-rengek dan meronta-ronta seperti anak kecil yang kita bincangkan dalam senario diatas tadi? Benar! kita perlu menunjukkan keinginan kita seperti itu, tetapi mengikut cara merengek yang telah ditetapkan mengikut cara yang diajarkan oleh Islam. Antaranya ialah dengan melakukan solat sunat hajat.

Solat Hajat adalah tanda seorang hamba itu benar-benar menginginkan sesuatu atau mempunyai sebuah keinginan dan impian yang terlalu ingin dicapai atau dimiliki. Ini adalah kerana solat ini dilakukan ditengah malam, dimana ketika orang lain sedang nyenyak tidur dibuai mimpi, tetapi, oleh kerana sihamba ini mempunyai keinginan atau hajat yang sangat kuat, maka dengan itu dia sanggup bangun ditengah malam meninggalkan tilam dan selimut yang enak, semata-mata untuk menunjukkan kepada Allah bahawa dia mempunyai sebuah KEINGINAN. Oleh itu, Solat Hajat bolehlah kita ibaratkan umpama kanak-kanak yang merengek seperti senario yang kita bincangkan tadi.

Hadis Rasulullah S.A.W: Daripada Abi Umamah katanya: Ditanya orang kepada Rasulullah S.A.W, bilakah doa yang paling diperkenankan? Jawab Baginda: Ialah separuh malam yang kedua dan sesudah solat-solat yang diwajibkan (solat lima waktu) -Riwayat Tarmidzi.

Dari hadis ini jelas menunjukkan bahawa selain dari berdoa ketika selesai solat lima waktu, waktu separuh malam yang kedua juga adalah waktu dimana doa paling diperkenankan. Bilakah waktu separuh kedua malam itu? Iaitu diantara pukul 3 hingga pukul 4 pagi sehinggalah menjelang subuh. Diwaktu-waktu beginilah biasanya Solat Hajat dilakukan. Sebaiknya dilakukan sendirian ditengah malam yang sunyi tanpa diketahui oleh sesiapa pun, sesuai dengan Firman Allah:

"Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan secara perlahan (tersembunyi) kerana sesungguhnya Dia tidak suka kepada orang-orang yang melewati batas" (Al-A'raf: 55)


Kesimpulan:

Kenalpasti keinginan anda, wujudkan keinginan dan kemudian mintalah keinginan anda kepada Allah, jangan meminta dari yang lain dari Allah dan tunjukkanlah kepada Allah betapa kuatnya keinginan anda itu. Selari dengan itu, yakini dan sedarilah, bahawa anda meminta pada Yang Maha Kaya Raya dan Suka Memberi lagi Maha Penyayang.

You Might Also Like

0 nasihat