4)Roh AmAL [RoH iLmu & PerPaduaN]

5:01:00 AM

ROH BERILMU

Kita belajar hingga dapat ilmu. Maka ilmu yang kita miliki itu dikira ada roh apabila:


– Ia sentiasa mengingatkan kita bahawa kita mempunyai banyak tanggungjawab kepada Allah yang mesti kita laksanakan. Jadi kalau kita memiliki ilmu yang begitu banyak tetapi ia tidak mengingatkan kita bahawa kita ada tanggungjawab kepada Allah, ini bermakna roh atau nyawa ilmu itu tidak ada. Yang berlaku hanya mental exercise sahaja. Oleh kerana roh ilmu mengingatkan kita akan bertang-gungjawab kepada Allah, maka bila kita ada ilmu, kita akan merasakan tanggungjawab yang makin berat. Makin banyak kita tahu, makin banyak pulalah tanggungjawab. Mengingatkan tanggungjawab adalah peranan hati. Bila kita memiliki ilmu, ia mengingatkan kita akan perintahperintah Allah sama ada yang wajib mahupun yang sunat yang hendak kita tegakkan.Yang haram dan makruh hendak kita tinggalkan.

– Di antara roh ilmu lagi, bila kita memilikinya ilmu itu akan mendorong hati kita cintakan Akhirat dan cintakan Allah. Ia mendorong hati kita benci dengan dunia (yang tidak memberi manfaat untuk Akhirat). Walaupun kita berjuang di dunia, menegakkan hukum Allah di dunia, mengatur masyarakat di dunia, mengambil kekayaan-kekayaan yang Allah halalkan di dunia, semuanya itu diperintahkan oleh Allah, namun hati tetap benci dengan dunia yang sentiasa saja hendak menipu kita.

Tegasnya, roh dalam berilmu itu, ia sentiasa menyedarkan hati kita bahawa dunia ini penipu, jahat dan hendak merosakkan kita. Kalau kita rasa begitu terhadap dunia melalui ilmu kita, maka sudah tentu dunia tidak akan dapat tipu kita. Ambillah dunia yang halal, tetapi ingat kadang-kadang ia boleh merosakkan kita. Carilah harta kekayaan tapi ingat, kadang-kadang ia menjahanamkan kita. Berniagalah sebesar mana pun tidak salah asalkan halal, tapi ingat, jangan sampai ia merosakkan hati kita, merosakkan perpaduan antara kita. Jadi kalau roh-roh dalam berilmu ini tidak kita miliki ertinya kita baru dapat rangka ilmu atau jasad lahirnya saja. Yakni ilmu tanpa roh, atau dalam kata yang lain, “ilmu-ilmu bangkai”. Kalau ilmu-ilmu bangkai yang kita dapat, ia tidak boleh menyelamatkan kita daripada rasa sombong, megah, riyak dan lain-lain mazmumah lagi.

ROH PERPADUAN

Bagaimana pula yang dikatakan roh amal dalam perpaduan? Allah suruh kita bersatu padu maka kenalah kita bersatu padu. Perpaduan dan persatuan yang Allah suruh mesti ada rohnya. Apakah roh perpaduan itu? Di antaranya ialah:

– Kita bersatu padu itu mesti disertakan rasa ukhwah (rasa persaudaraan) dan ingin mengutamakan orang lain. Ertinya jangan hanya fizikal kita saja yang bersentuh tapi hati tidak bertaut.

– Seterusnya perpaduan juga dikira ada roh bilamana ia di-sertakan rasa kasih sayang. Kalau kita berpadu dan berkumpul tapi tiada rasa kasih sayang, maka amat berat rasanya kita hendak bertemu selalu. Kalau ada tersalah tersilap, lagi benci hendak bertemu. Tapi kalau bertemu dengan hati, ada rasa kasih sayang antara satu dengan yang lain hingga rindu-merindui. Seminggu tidak berjumpa sudah bertanya-tanya, polan itu mana. Itulah roh perpaduan dan persatuan. Bila ada kasih sayang, krisis dapat dihindarkan. Kalau ada krisis pun, cepat padam, tidak berpanjangan kerana masih ada lagi pertautan hati.

– Termasuk dalam roh perpaduan juga ialah doa-mendoakan. Doa itu tidak semestinya dengan angkat tangan atau bercakap tapi juga doa dalam hati. Bila kita nampak kawan buat baik, hati rasa senang dan mendoakan, biarlah dia terus dalam kebaikan. Bila kita tahu kawan ada melakukan kesilapan, hati merasakan mudah-mudahan jangan dia buat lagi. Hati kita berdoa kepada Allah, mudah-mudahan Allah berikan kawan kita pimpinan, taufik dan hidayah. Kawan itu tidak dibenci, sebaliknya kalau boleh diberi nasihat.

– Di antara roh-roh perpaduan lagi ialah ingin bertolong bantu dan simpati atas kesusahan atau ujian yang menimpa kawan.
Jadi kita berpadu bukan kerana pangkat atau kerana inginkan bantuan atau kerana takutkan musuh. Juga bukan kerana ekonomi dan bukan kerana itu dan ini. Tetapi kerana ia tuntutan daripada Allah SWT. Kalau kita berpadu kerana Allah maka indah sekali perpaduan itu. Perpaduan itu akan sentiasa kukuh.

Kalau tidak, bermacam-macam krisis akan timbul. Manusia di seluruh dunia hari ini cuba mewujudkan perpaduan. Mereka melaungkan: “Mari bersatu, mari bersatu!”, tapi tukang cakap itulah yang membawa pecah-belah. Dia ajak orang ramai bersatu padu tapi di sudut yang lain dialah pemecah belah umat. Oleh itu roh perpaduan mesti dijaga, kalau tidak nanti hanya berlaku pertautan fizikal tetapi tiada pertautan hati. Pertemuan itu biarlah dengan tautan hati, bukan dengan tautan fizikal semata-mata yang tiada erti apa-apa.
Orang mukmin itu menurut Rasulullah ialah mereka yang jiwa (roh) mereka antara satu dengan yang lain sentiasa ikat-mengikat (berangkai-rangkai, tiada putus-putus).

You Might Also Like

0 strawberries yummy

Follow me

Like us on Facebook

Follow us

Flickr Images